Sunday 19 February 2012

Mengangkat Martabat Bahasa Melayu

Penganjuran PABM menunjukkan kejayaan negara untuk memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Ia membolehkan negara di luar Nusantara mengenali serta mempelajari bahasa yang sering digunakan oleh negara di Asia Tenggara.
Pendedahan melalui pertandingan itu secara tidak langsung dapat menarik minat bangsa lain untuk lebih mendalami keunikan dan keindahan bahasa Melayu berserta budaya yang penuh dengan kesopanan. Bagi memastikan matlamat itu dicapai, rakyat Malaysia sebagai penutur bahasa Melayu asli di rantau ini perlu bekerjasama dalam meningkatkan usaha memperkasakan penggunaan dan penguasaan bahasa ibunda terlebih dahulu.

Kerana itu, rakyat tidak perlu malu bercakap dalam bahasa Melayu apabila berkomunikasi dengan orang luar yang berkunjung ke negara bertuah ini.
Orang ramai juga tidak perlu segan silu menggunakannya apabila berurusan dalam perkara-perkara formal yang selalunya menggunakan Bahasa Inggeris. Ia bagi mengelakkan bahasa Melayu terus terpinggir dan ketinggalan dalam arus kemodenan.

Jika semua rakyat menghargai dan cintakan bahasa Melayu, ia bukan sahaja dapat menyelamatkan bahasa itu malah menyerlahkan jati diri penutur asal untuk mengukuhkan penguasaan bahasa dan identiti bangsa. Secara tidak langsung, tindakan berani itu mampu mengangkat martabat bahasa Melayu bukan sahaja sebagai bahasa pengantara tetapi sebagai bahasa ilmu.

Hakikatnya, banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk menjadikan bahasa kelima terbesar di dunia ini terus dihormati sekali gus memastikan ia memberi sumbangan kepada kemajuan tamadun manusia. Ya, seperti mana sumbangan bahasa Melayu di zaman Kesultanan Melayu Melaka.

No comments:

Post a Comment